fbpx
Lokasi mangsa diserang buaya ketika menjala udang di tebing muara Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson, Isnin lalu.

Tiga minit Jaafa bertarung dengan buaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Nyawa seorang pesara polis masih panjang apabila dia hanya cedera di jari kaki kiri selepas bertarung selama tiga minit dengan buaya sepanjang 4.5 meter ketika menjala udang seorang diri di tebing sungai di Muara Tanjung Agas di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian mencemaskan pada pukul 4 pagi itu, Jaafa Hasan, 62, diserang reptilia tersebut sebanyak dua kali sebelum terjatuh dan diseret dalam air.

“Kali pertama ia (buaya) tarik, saya terjatuh ke dalam air, kemudian ia tarik sekali lagi sebelum kami bergelut. Ketika itu, ia umpama hidup dan mati.

“Bagaimanapun buaya itu gagal melibas badan saya disebabkan kawasan tebing yang sempit, jadi haiwan tersebut hanya sempat menggigit kaki kiri.

“Saya bertakbir untuk menyelamatkan diri. Dalam kea­daan paha yang kejang, saya merangkak naik ke tebing. Kalau kali ketiga ditarik, mungkin saya sudah tiada harapan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jaafa percaya kasut getah yang dipakainya pada hari kejadian menjadi penyelamat kerana reptilia itu mungkin menyangka bahawa barangan tersebut adalah kakinya.

“Apabila ia menggigit kasut getah yang saya pakai, kasut itu tercabut dan terjatuh ke dalam air. Mungkin ia (buaya) sangka itu adalah kaki saya,” katanya.

Akibat kejadian itu, pesara koperal tersebut mengalami kecederaan retak pada jari kaki kiri selain luka di badan akibat ter­kena batu.

“Alhamdulillah doktor be­ritahu tiada patah, cuma retak sedikit pada jari kaki. Jika semuanya baik, mungkin esok (hari ini) saya dibenarkan keluar wad,” ujarnya.

Bercerita mengenai kejadian itu, katanya, sewaktu kejadian, dia sedang menebar jala di tebing sungai tersebut yang merupakan lokasi rutin dia mencari udang sejak sekian lama.

Warga emas itu memberitahu, dia mengetahui selok-belok kawasan sungai itu selain mengakui kerap melihat kemunculan buaya di lokasi berkenaan.

“Boleh dikatakan tiap-tiap malam nampak (buaya), tetapi biasanya haiwan itu berada di bahagian tengah sungai, bukannya di tebing. Saiznya memang besar dengan panjang lebih 4.5 meter,” katanya.

Walaupun tidak mengalami trauma melampau, Jaafar berkata, dia bercadang untuk ‘menggantung’ jala atas nasihat is­terinya.

“Setakat itu sahajalah, saya mahu berehat terus (selama-lamanya),” katanya.

Jaafa berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dapat menangkap dan memindahkan reptilia itu ke ha­bitat lain yang jauh dari penempatan manusia.

“Kalau boleh tangkap dan pindahkan, bukan membunuh. Takut nanti haiwan itu dapat bau darah manusia dan ia akan mencari lagi,” katanya.

Tambahnya, kejadian sera­ngan buaya itu bukan kali ­pertama berlaku di kawasan tersebut apabila seorang ­individu ­dipercayai pernah di­serang ­reptilia sama tiga minggu lalu, namun tidak membuat laporan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang warga emas cedera di kaki dipercayai digigit buaya di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas.

Sungai Linggi dan Sungai Timun diiktiraf sebagai habitat semula jadi buaya. Berdasarkan pemantauan, sekurang-kurang­nya terdapat lapan ekor buaya di sungai tersebut, namun tinjauan pada tahun 2016 merekodkan lebih 50 ekor buaya di sungai sekitar Port Dickson.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN