fbpx
Pilihan raya menjadi satu-satunya peluang parti-parti politik Malaysia mendapatkan mandat baharu.

‘Bila mahu pilihan raya umum?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUHU politik negara sejak kebelakangan ini semakin memanas. Lihat sahaja komen-komen para pemimpin parti kita. Lantang bak halilintar. Semua mahu terkedepan mempertahankan prinsip masing-masing.

Jika yang di atas mula kepanasan, golongan pengikut yang di bawah sudah memalu gendang. Mencapai takat didih. Kalau airnya terkena tangan silap-silap boleh melecur tahap kedua. Kulit ‘masak’, membengkak.

Sampai timbul gelembung air lepuh. Memedihkan!

Kini yang pasti Johor bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat. Ada cakap-cakap mengatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal dibubar Jun ini.

Justeru itu, tidak hairanlah segala tindak-tanduk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor merangkap Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi perhatian.

Pemerhati juga mahu melihat apakah keputusan BN bertanding solo di Johor ini bakal menjadi ‘mukadimah’ Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pula. Andai percaturan BN Johor mengena atau sebaliknya ia tetap memberi impak kepada kerjasama lebih-lebih lagi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Contohnya di Negeri Sembilan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan sekiranya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah tiba masanya mandat perlu dikembalikan kepada rakyat.

Sejak berakhirnya PRU15 yang berlangsung pada 19 November 2022, ia secara tidak langsung memberi petunjuk positif bahawa budaya kerajaan campuran mula matang, tiada lagi dominasi mutlak satu parti, institusi diraja memainkan fungsi penstabil selain demokrasi yang lebih kompetitif.

Namun, perlu diingat ia juga memberi gambaran polarisasi kaum serta agama semakin dalam, politik identiti semakin ekstrem selain rakyat semakin sinikal terhadap ahli politik. Gabungan yang dahulu saling bermusuh turut bekerjasama sehingga sebahagian pengundi keliru serta terkecewa.

PRU15 juga dianggap antara pilihan raya paling bersejarah dalam politik Malaysia kerana buat pertama kali negara mengalami Parlimen tergantung. Perkara itu menjadi asas kepada hubungan Kerajaan Perpaduan hari ini.

Penulis sekiranya bertemu orang ramai rata-rata bertanyakan tarikh PRU16. Penulis sendiri tidak mempunyai jawapan terhadap persoalan itu.

Ternyata mereka tidak berpuas hati dengan beberapa isu-isu yang terjadi dalam masyarakat.

Semestinya sebarang pilihan raya ketika krisis bahan api dunia ketika ini amatlah tidak sesuai. Sentimen pengguna akan lebih mudah menghukum kerajaan semasa. Rakyat akan meluapkan kemarahan di kertas undi berbanding pertandingan idea serta dasar ditampilkan.

Bagaimanapun, pilihan raya menjadi satu-satunya peluang parti-parti politik Malaysia mendapatkan mandat baharu. Isu dalaman parti-parti kerajaan serta pembangkang yang melemah serta berpecah bakal mewujudkan Parlimen tergantung 2.0?

Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua rakyat Malaysia yang menyambutnya. Nampaknya selepas hari raya korban akan muncul ‘hari raya’ lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN