TAPAH – Seramai tujuh individu termasuk malim gunung dan suami pendaki, Jaslinda Saludin, 49, disoal siasat bagi membantu siasatan susulan kehilangan wanita itu di Gunung Batu Putih pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd. Fadzil Ismail berkata, setakat ini, soal siasat tersebut menjurus kepada elemen bagi membantu operasi dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Kita melakukan soal siasat ke atas enam malim gunung termasuk suami Jaslinda iaitu Haszman Othman, 61.
“(tindakan) Ini bagi membantu operasi SAR, bahkan kita akan bertukar maklumat dengan bomba. Setakat ini hasilnya adalah positif,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba, Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, di sini hari ini.
Mohd. Fadzil berharap, operasi bersepadu dan terancang ini boleh menemukan Jaslinda yang telah hilang selama lebih 72 jam.- KOSMO! ONLINE














