PEMAIN import Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo memberi bayangan proses mendapatkan kerakyatan Malaysia hampir selesai dan sangat teruja dengan peluang menyarung jersi Harimau Malaya.
Sebagai rekod, pemain kelahiran Argentina itu sudah beraksi di Malaysia sejak 2021 apabila pernah mewakili Sri Pahang , Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City sebelum menyertai JDT.
Memandangkan tempoh bermastautin selama lima tahun di negara ini hampir lengkap, spekulasi bahawa Hidalgo bakal menjadi calon pemain naturalisasi baharu skuad Harimau Malaya semakin kuat pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun mahu peminat terus bersabar selepas mengesahkan segalanya bakal tidak lama lagi.
“Saya rasa tidak lama lagi (proses naturalisasi selesai) dan anda semua akan mendapat jawapannya. (Mengenai mengenai potensi mewakili Malaysia). Saya harap begitu kerana saya sangat teruja,” katanya.
Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa Hidalgo sudah mendapat pasport Malaysia pada bulan ini, tetapi sekadar khabar angin selepas masih disenaraikan sebagai pemain import JDT termasuk pada aksi final Piala Malaysia, minggu lalu.
Selain Hidalgo, seorang lagi tonggak JDT, Bergson da Silva dan tiga lagi tonggak import yang berpotensi untuk dinaturalisasikan pada tahun ini adalah pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco, Alex Agyarkwa (Selangor FC) dan Yuki Tanigawa (Kuching City).
Difahamkan, skuad Harimau Malaya tidak akan mengharungi aksi antarabangsa pada kalendar FIFA yang dibuka pada minggu depan sebaliknya Peter Cklamovski dijangka mengumpulkan semula pemain pada aksi Piala ASEAN AFF, Julai nanti.














