fbpx
Amyza Aznan mengakui sering memanggil nama putera sulungnya, Andre Mikhail sebagai terapi untuk menghilangkan kerinduan.

Saya cium baju Andre, selalu cakap seorang diri – Amyza Aznan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas tiga bulan pemergian anak, pelakon Amyza Aznan mengakui sering memanggil nama putera sulungnya, Andre Mikhail sebagai terapi untuk menghilangkan kerinduan.

Selain itu, Amyza, 50, kerap mencium baju atau melihat tempat tidur anaknya, termasuklah menziarahi pusara arwah Andre pada setiap hari.

“Saya pegang dan cium baju, cakap seorang diri serta tengok tempat sofa dia tidur — itu yang saya selalu buat sekarang.

“Saya panggil pusara dia istana, saya akan pergi situ setiap hari.

“Saya tahu dia dah tak ada tapi saya masih panggil dia ‘anak’, ‘Andre’ atau ‘Andre, sayang mummy anak’ terutamanya bila saya seorang diri.

“Itu perkataan yang selalu saya cakap dekat hospital. Tahu benda itu sakit tapi nak buat macam mana,” katanya dalam sebuah audio siar.

Bagi mengelakkan emosi terus hanyut, pelakon drama Bawah Payung Awan itu mencari alternatif lain untuk mengubat kerinduan tersebut dengan menyanyi.

“Untuk gembirakan saya balik, saya menyanyi sebab bagi saya itu satu terapi.

“Setiap kali rindu, sebelum jadi teruk saya patahkan dengan doakan untuk dia. Saya sedekahkan doa-doa yang saya tahu.

“Selain hadiahkan doa, saya juga ada buat tahlil ringkas,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Amyza mendedahkan tidak mahu berselindung lagi mengenai fasa rapuh yang dihadapi kerana menganggap kesedihan tersebut sebagai satu proses normal selepas kehilangan anak.

“Sudah semestinya penat dan saya tak malu untuk mengaku saya penat jadi kuat depan orang.

“Saya tak rasa itu satu kegagalan, kita manusia kalau nak tunjuk kuat depan orang, kita akan makan diri.

“Jadi, bila rasa nak menangis, saya buat sahaja. Itu satu proses, kena terima asalkan tahu had,” jelasnya.

Sebelum ini, anak sulung Amyza meninggal dunia pada 23 Februari akibat kanser paru-paru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN