PADA trip pertama, kumpulan kami ke lokasi di Empangan Temenggor, Perak ini menemukan ikan haruan dan tilapia bersaiz ‘gergasi’.
Saya ingatkan hanya dua spesies ikan itu mendominasi kawasan berupa danau-danau berpaya di lembah yang wujud ketika paras air empangan surut.
Rupa-rupanya di tempat yang sama, tersembunyi satu lagi spesies ikan bak kepala ular (snakefish) iaitu bujuk atau dalam nama saintifiknya, Channa lucius.
Walaupun hanya seekor yang saya dapat, tetapi saiznya amat mengagumkan. Saya sendiri tidak pernah bertemu ikan bujuk saiz sebegitu kasar.
Puas juga bertanya rakan-rakan, terutamanya mereka yang berpengalaman mengenai ikan bujuk dan semuanya mengakui tangkapan saya itu sudah dikira amat besar untuk spesies tersebut.
Setiap malam, tidur saya terganggu mengingatkan ikan tersebut dan terus saya rujuk laman web International Game Fish Association (IGFA) untuk mengetahui status terkini tentang rekod All-Tackle ikan
bujuk.
Rekod berusia 15 tahun
Sungguh tidak disangka, rupa-rupanya rekod sebelum ini wujud pada tahun 2010 oleh pemancing negara yang juga seorang penulis aktiviti memancing iaitu Christopher S.G. Tan di Sungai Terengganu, Tasik Kenyir dengan ikan seberat 2.05 kilogram (kg).
Mengenangkan info itu membuatkan tidur malam saya menjadi lebih tidak lena. Ini kerana saya tahu harapan masih ada untuk mendapatkan ikan bujuk bersaiz lebih besar daripada itu.
Jadi, saya harus cepat sebelum lokasi itu ditelenggami air semula jika paras air empangan naik.
Lantas guide Bukhari dihubungi dan dua minggu selepas trip yang pertama, saya dan rakan-rakan turun semula ke lokasi berpotensi untuk mendapatkan rekod itu.
Jika trip yang lepas saya tidak bersedia, kali ini peralatan yang sewajarnya untuk proses dokumentasi dibawa terutamanya alat penimbang yang diiktiraf IGFA iaitu Boga Grip.
Trip yang pertama kami trekking pagi dan balik petang. Tetapi untuk trip kedua ini, kami membuat keputusan untuk berkhemah selama tiga hari dua malam.
Gajah berkubang
Ia satu keputusan yang amat berani kerana danau-danau yang terpisah dari sungai utama ini juga merupakan lokasi kumpulan gajah berkubang.
Malah di petang hari kedua, kami terpaksa lari naik ke satu bukit kecil berhampiran apabila sekumpulan gajah melalui tepi tapak perkhemahan kami. Nasib baik tiada aktiviti memasak dilakukan ketika itu, jika tidak pasti hancur kawasan tapak perkhemahan kami.
Saya sebenarnya sudah hampir berputus asa kerana masih tidak bertemu ikan bujuk yang diidamkan itu.
Hanya ikan haruan dan tilapia mendominasi tangkapan, walaupun hampir kesemua ikan-ikan itu bersaiz kasar tetapi ia bukan yang saya idamkan.

Masalah ikan spesies lain yang menyambar gewang dan sekumpulan gajah yang turun ke air betul-betul merisaukan saya.
Pagi hari terakhir, saya turun semula ke kolam yang terdekat dengan tapak perkhemahan untuk peluang terakhir sebelum pulang.
Akhirnya
Ikan ini sememangnya diketahui sangat sensitif dan sesuai dengan namanya ‘bujuk’, ia perlu dipujuk berkali-kali untuk mengambil umpan atau gewang.
Jadi, lontaran gewang perlu dilakukan berterusan ke tempat sama secara konsisten supaya dapat menerbitkan perasaan ingin tahunya untuk merapati, sekali gus melahap gewang dimainkan.
Profil mulutnya juga tidak seperti toman atau haruan, ia lebih meruncing, jadi kebarangkalian mata kail dapat menusuk mulutnya agak rendah setiap kali ia menyambar gewang.
Sebab itu bagi kaki pancing bujuk, kejadian misscall atau ‘tidak lekat’ mata kail itu adalah satu perkara normal.
Saya memilih untuk menggunakan gewang soft plastic (SP). Saya langsung tidak bertukar jenis gewang dan memakai warna yang sama sahaja. Saya sangat berharap untuk bujuk merembat SP itu.
Setelah mencuba beberapa kali, akhirnya terasa sesuatu menggetu SP, namun tidak lekat selepas disembat. Kelihatan buih-buih halus terbit di tempat SP disambar.
Hati saya berdebar-debar kerana jika haruan bagak yang ambil SP, sudah tentu ia akan tertancap mata kail, tetapi ini tidak.
Lantas SP dilontar di laluan yang sama dan kali ketiga percubaan, ia dirembat lagi tetapi tidak lekat.
Kali ini tempat sambaran sudah lebih dekat dengan kedudukan saya di tebing.
Kamera aksi Dji Osmo 5 yang tersedia di badan saya terus dihidupkan, SP dimainkan sekali lagi dan tidak sampai empat kaki dari tebing, ia disambar kuat dan terus joran disembat padu, kali ini mata kail menusuk kemas ke mulut ikan.
Ikan menentang dengan menuju ke kawasan yang lebih dalam, namun benamannya dapat saya kekang dan tidak lama kemudian, terdampar ikan bujuk impian saya ke darat.
Saiznya kelihatan sama seperti ikan bujuk di trip pertama tempoh hari, cuma perutnya kelihatan sedikit buncit.
Boga Grip dicangkuk dan selepas ia berhenti meronta, barulah bacaan di alat timbangan tersebut dapat dipastikan. Ia tepat pada paras 6lb 8oz atau 2.95kg, 900g lebih berat daripada rekod lama.
Segala syarat yang dikehendaki IGFA untuk permohonan rekod iaitu rakaman video ketika pancingan seperti waktu berlawan, mendaratkan dan menimbang ikan dipenuhi, termasuklah close-up peralatan dan gewang bersama
ikan serta proses melepaskan ikan semula ke habitatnya dipenuhi.
Balik saja ke ibu kota, wakil IGFA Malaysia, Puan Shamin Saimah dihubungi untuk membantu permohonan rekod.
Beberapa bulan kemudian, rekod ini telah diluluskan oleh IGFA sekali gus memadamkan rekod 15 tahun dahulu.















