SEREMBAN – Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang dipercayai akibat pengabaian di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.22 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh neneknya yang berusia 54 tahun bermula pukul 9 pagi sementara ibu bapa bayi tersebut keluar bekerja.
“Pada kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa dipercayai ditinggalkan tidur di dalam buaian ketika neneknya memasak dan menjemur pakaian.
“Tidak lama kemudian, wanita terbabit menyedari mangsa sudah tiada di dalam buaian sebelum menemui bayi itu dalam keadaan tertelangkup di dalam baldi berisi sedikit air sabun di halaman belakang rumah dengan kepala berada di bawah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik berhampiran sebelum dirujuk ke untuk rawatan lanjut namunn disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang oleh pegawai perubatan hospital.
“Bedah siasat dijalankan pada hari ini namun punca kematian masih menunggu keputusan siasatan makmal, manakala nenek mangsa bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














