KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih dan merafakkan penghargaan atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan keselamatan negara.
ATM dalam kenyataan berkata, titah Pemangku Sultan Johor mencerminkan sinergi strategik yang kukuh antara institusi diraja, kerajaan negeri dan ATM dalam memperkasa kesiapsiagaan pertahanan negara.
Menurut kenyataan itu, kesediaan kerajaan memberi ruang serta kerjasama penuh bagi pelaksanaan eksesais ketenteraan menjadi nadi kepada kelangsungan kesiagaan pasukan keselamatan.
“Pada masa yang sama, ATM turut menjunjung setinggi-tinggi kasih atas jaminan Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM yang pastinya melonjakkan lagi moral warga perkhidmatan.
“Pengiktirafan terhadap jasa perwira yang telah menamatkan perkhidmatan membuktikan bahawa pengorbanan mereka kekal dihargai,” katanya hari ini.
Menurut ATM, pihaknya sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan dan mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik melangkaui sempadan geografi.
Katanya, latihan yang konsisten serta realistik di lapangan sebenar merupakan prasyarat penting bagi memperkasa kompetensi taktikal warga ATM selain memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi.
“ATM akan terus memfokuskan sumber dan kepakaran kepada objektif teras pertahanan nasional.
“ATM juga kekal profesional dan akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, ATM mempunyai ruang, kuasa serta kerjasama yang sewajarnya untuk melaksanakan sebarang bentuk latihan di Johor, titah Tunku Mahkota Ismail.
Baginda bertitah, latihan sedemikian amat penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan serta memperhalusi kemahiran yang diperlukan, bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Sehubungan itu, Tunku Mahkota Ismail memberi jaminan bahawa Institusi DiRaja Johor dan kerajaan negeri, akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha tersebut. – KOSMO! ONLINE














