PETALING JAYA – Pelakon Eira Syazira berharap segala kecaman yang dilemparkan terhadap anak perempuannya, Amarra Sofea Rose sepanjang bergelar peserta Talk To My Manager 2 (TTMM2) diganti menjadi doa terindah.
Menurut Eira, perkara tersebut disuarakannya sempena Hari Arafah semalam yang meruapakan hari paling mustajab berdoa.
“Pada hari yang penuh keberkatan dengan doa-doa mustajab ini, saya menitipkan semoga setiap kata-kata buruk, hinaan dan kebencian kalian terhadap anakku, akan Allah gantikan dengan segala kebaikan, kekuatan, kehebatan serta kejayaan yang luar biasa buat anakku Amarra Sofea,” katanya dalam platform Threads.
Perkongsian tersebut seterusnya meraih pelbagai respons daripada netizen yang turut mendoakan perkara sama.
Sebelum ini, Amarra kerap menjadi mangsa kecaman netizen susulan persembahannya di TTMM2 kerana dikatakan tidak mempunyai bakat dalam nyanyian dan layak disingkirkan.
Rentetan itu, Eira memohon orang ramai memberi ruang dan peluang buat Amarra yang masih dalam proses beradaptasi dengan semua perkara baharu dalam hidup.
Menerusi TTMM2, Amarra menyertai program tersebut bersama bapanya, Azad Jasmin selaku pengurusnya. – KOSMO! ONLINE














