BESUT – Seorang guru lelaki ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan dakwaan salah laku seksual terhadap dua pelajar di daerah ini.
Suspek berusia 42 tahun difahamkan diberkas di rumah keluarganya di daerah ini pada pukul 3.25 petang.
Difahamkan penahanan dilakukan berikutan laporan polis dibuat dua mangsa terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim yang dihubungi mengesahkan tangkapan, dan kes akan disiasat mengikut Sekyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Permohonan reman akan dipohon terhadap suspek esok bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang guru di daerah ini terlibat dalam aktiviti tidak bermoral selepas beberapa pendedahan dibuat oleh seorang pempengaruh di Facebook.
Situasi itu menyebabkan netizen menggesa Kementerian Pendidikan serta pihak berwajib untuk segera menjalankan siasatan secara tulus kerana ia melibatkan keselamatan pelajar sekolah. – KOSMO! ONLINE














