fbpx
Gambar hiasan.

Pemandu peribadi tidak mengaku culik budak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu peribadi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan selama dua jam dan membawa mangsa sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Rafiqzam Hafeq Mohd Rosly, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menculik kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun enam bulan daripada ayah mangsa, Rosli Ab Ghani, 49, di kawasan Jalan Ilmu berhampiran Mahsa Kolej Universiti Malaya sehingga Petron Jalan Johar di Bukit Damansara sini antara pukul 2.30 hingga 4.49 petang, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib tidak menawarkan sebarang jaminan.

Namun, sekiranya mahkamah berhasrat membenarkan jaminan, pendakwa raya itu memohon agar syarat tambahan dikenakan iaitu Muhamad Rafiqzam perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu atau mendekati mangsa dan keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam bela, P. Suthes yang mewakili tertuduh memohon agar ikat jamin dibenarkan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga serta menjaga ibunya.

Atiqah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN