JASIN – Tindakan seorang lelaki tempatan didakwa berlagak seperti ‘abang long kawasan’ dengan menampar dan mengugut warga Bangladesh supaya tidak berniaga di lokasi sama perniagaan adik angkatnya membawa kepada penahanan lima individu di Serkam di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa berusia 44 tahun dikatakan sedang berniaga sayur-sayuran dan buah-buahan bersama isterinya di tepi jalan berhampiran asrama pekerja sebuah kilang ayam sebelum didatangi suspek.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek yang berusia 49 tahun kemudian dikatakan telah mempersoalkan tindakan mangsa berniaga di kawasan berkenaan tanpa kebenaran.
Menurutnya, keadaan kemudian bertukar tegang apabila suspek bertindak menampar pipi kiri mangsa, selain mengeluarkan ugutan supaya tidak lagi berniaga di kawasan tersebut.
“Suspek turut mengugut akan membakar premis perniagaan mangsa di Batu Berendam sekiranya masih melihatnya berniaga di lokasi berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami kesakitan pada pipi kiri, telinga kiri serta belakang tengkuk dan berasa takut sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, susulan laporan berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah menahan lima lelaki termasuk dua warga Bangladesh berusia antara 37 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku telah datang ke lokasi selepas menerima panggilan daripada adik angkatnya yang mendakwa perniagaannya diganggu oleh peniaga warga asing.
“Lelaki itu mendakwa telah menegur mangsa secara baik, namun berlaku pertikaman lidah sebelum dia bertindak menampar warga asing itu beberapa kali dan menendang bekas polisterin berisi barangan jualan,” katanya.
Ujarnya lagi, dua lagi lelaki tempatan masing-masing mendakwa hanya melihat kejadian dari motosikal yang ditunggang dan merakam insiden berkenaan, manakala dua warga Bangladesh mengaku tidak terlibat dalam pergaduhan itu.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati suspek dan seorang lagi lelaki tempatan mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah serta narkotik, selain barangan rampasan termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Robert berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan semua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Jasin bagi tujuan permohonan reman serta siasatan lanjut














