PETALING JAYA – Pelakon Sharifah Sakinah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen apabila memuat naik foto bercium dengan suaminya, Cyril Kongo menerusi satu hantaran media sosial semalam.
Dalam foto tersebut, Sakinah, 37, dan suaminya yang difahamkan berada di Kota London dilihat bercium dan berpelukan di tempat awam.
Kurang senang dengan aksi yang dilabel sebagai kurang sopan tersebut, rata-rata netizen berpendapat pelakon sepatutnya menjaga maruah diri terutama sebagai seorang individu beragama Islam.
“Tidak perlu gambar kedua itu (foto berkucupan), buat malu saja.
“Terpaling moden kononnya, maaf tidak sokong,” komen netizen.
Namun, tidak kurang juga ada yang memuji pasangan tersebut sebagai romantis selain meminta orang ramai berhenti menulis komen kecaman terhadap Sakinah.
“Kalian jangan buat dosa kering, itu suami dia.
“Kalau kalian tidak suka dia, itu masalah sendiri. Sakinah boleh lakukan apa sahaja sebab ini akaun Instagram dia,” ujar netizen lain.
Menerusi hantaran sama, dia juga memuat naik kapsyen bahawa semua yang dimilikinya ketika ini hanyalah pinjaman.
“Semua ini hanya pinjaman,” tulisnya ringkas.
Terdahulu, Sakinah dan Cyril difahamkan mendirikan rumah tangga pada tahun 2025. – KOSMO! ONLINE














