fbpx
(Dari kanan) Partiben, Tiben, Kavven dan Muhamad Saifullah selepas prosiding di Mahkamah Majistret Shah Alam.

‘Kebas’ lori roro syarikat sendiri awal pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tindakan dua sahabat ‘kebas’ lori roro milik syarikat pembinaan tempat mereka bekerja membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, T. Kavven Kumar, 34, mengaku salah manakala K. Tiben, 36, menafikannya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan penjaga stor itu didakwa secara bersama-sama telah mencuri sebuah lori tanpa izin daripada syarikat mereka di parkir luar kawasan perumahan cahaya SPK, Seksyen U9 di sini, kira-kira pukul 5.40 pagi pada 17 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben yang mewakili Tiben merayu agar anak guam mereka dibenarkan ikat jamin atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,600 sebulan selain menanggung isteri serta tiga anak kecil.

“Tertuduh mempunyai alamat tetap di Klang dan keluarga hanya mampu menyediakan jaminan RM2,000 kerana berada dalam kategori B40 serta garis kemiskinan tegar.

“Lori tersebut juga sudah diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Pada prosiding itu, Kavven tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Tiben diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala Kavven tidak dibenarkan jaminan.

Sebutan semula kes termasuk fakta kes dan jatuh hukum ditetapkan 6 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN