fbpx
Ramai individu berjaya lahir daripada universiti yang mungkin pernah dipandang rendah oleh orang lain. - Gambar janaan AI

Tidak bersyukur dapat IPT, asyik ‘merentan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minggu lalu keputusan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah boleh disemak, maka ramailah yang gembira dan ada juga berduka kerana tidak mendapat tempat diingini.

Namun apa yang menjadi perhatian ialah tindakan segelintir lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang secara terbuka memuat naik rasa tidak puas hati terhadap keputusan diterima.

Lebih menyedihkan apabila ada antaranya memperlekeh institusi pengajian yang diterima di media sosial. Tindakan itu kemudian menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat terutama pensyarah IPTA itu sendiri.

Ramai netizen meluahkan kemarahan kerana menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bersyukur dan tidak menghargai peluang pendidikan yang diberikan.

Dalam keadaan ramai pelajar lain berusaha keras tetapi gagal, sikap memperlekeh tawaran pengajian dianggap sebagai sesuatu yang tidak matang dan memualkan. Ada yang mahu lepasan SPM ini melepaskan sahaja tawaran tersebut kepada mereka yang lebih layak.

Media sosial hari ini telah menjadi medan terlalu terbuka sehingga sebahagian generasi muda merasakan semua emosi perlu dirakam dan dimuat naik.

Sedih dikongsi, marah dikongsi, kecewa juga dikongsi tanpa memikirkan kesan terhadap diri sendiri dan orang sekeliling. Budaya mahu menjadi perhatian atau mengejar kandungan tular akhirnya menghakis rasa malu dan adab dalam berkomunikasi.

Apa yang lebih membimbangkan apabila penghinaan terhadap institusi pendidikan dibuat secara terbuka.

Sesebuah universiti bukan sekadar nama, tetapi tempat lahirnya ribuan graduan yang berjaya membina kerjaya dan kehidupan. Memperlekeh institusi tertentu hanya kerana ia bukan pilihan pertama menunjukkan pemikiran yang masih cetek tentang nilai sebenar pendidikan.

Ramai individu berjaya lahir daripada universiti yang mungkin pernah dipandang rendah oleh orang lain. Dalam dunia sebenar, sikap dan kemahiran sering menjadi ukuran utama, bukan sekadar tempat seseorang belajar.

Media sosial sepatutnya menjadi platform untuk berkongsi ilmu, inspirasi dan perkara bermanfaat, bukannya ruang melepaskan emosi secara melulu. Apa yang dimuat naik hari ini boleh kekal bertahun-tahun dan dilihat bakal majikan, pensyarah atau masyarakat umum.

Generasi muda juga perlu memahami bahawa kebebasan bersuara bukan tiket untuk berkata apa sahaja tanpa batas. Mengkritik dengan matang adalah berbeza dengan memperlekeh atau menghina secara terbuka.

Bayangkan perasaan lepasan SPM lain yang tidak mendapat sebarang tawaran apabila melihat ada individu menghina peluang yang mereka sendiri impikan.

Kita tidak menolak hak generasi muda untuk bersuara atau meluahkan pandangan. Namun, kematangan dalam menggunakan media sosial perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN