ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang dia tunggang terbabas selepas dipercayai melanggar seekor anjing yang melintas di Jalan Londang, Masjid Tanah di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, mangsa, Mohd. Azhar Mohd. Noor, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dalam perjalanan pulang ke rumah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin.
“Ketika itu mangsa dari arah Pekan Masjid Tanah menghala ke Londang sebelum motosikalnya dipercayai hilang kawalan selepas melanggar seekor anjing yang melintas,” katanya, di sini hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan terbabit agak gelap walaupun terdapat lampu, selain terdapat bangkai seekor anjing di tepi jalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














