fbpx
AJK korban hendaklah berlaku jujur, telus dan amanah dalam setiap urusan supaya ibadah korban benar-benar menjadi ibadah yang diberkati. Gambar kecil: Dr. Mohd. Sukki

Tipu timbang daging korban dosa besar, khianat amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pihak yang menganjur atau menguruskan program korban sempena Hari Raya Aidiladha perlu menitikberatkan soal amanah ketika melaksanakan korban dan tidak terlibat dalam isu penipuan timbangan daging.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, perbuatan menipu timbangan merupakan dosa besar kerana ia melibatkan peng­khianatan amanah dan memakan hak orang lain secara batil.

“Jika perkara seperti manipulasi timbangan, pengurangan bahagian peserta atau penyelewengan agihan berlaku, maka ia bukan lagi isu kecil, bahkan boleh mencemarkan kesucian ibadah korban itu sendiri.

“Lebih berat lagi apabila ia dilakukan oleh ahli jawatankuasa atau pihak yang diberi amanah mengurus ibadah umat Islam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata, AJK korban perlu menyedari bahawa mereka sedang mengurus ibadah dan amanah agama, bukannya sekadar pengagihan biasa.

“Justeru, AJK korban hendaklah berlaku jujur, telus dan amanah dalam setiap urusan supaya ibadah korban benar-benar menjadi ibadah yang diberkati dan diterima oleh Allah SWT, bukan dicemari dengan unsur penyelewengan dan pengkhianatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu ucapan kasihan atau simpati terhadap haiwan yang di­sembelih ketika ibadah korban yang mana ia tidak menghalang seseorang umat Islam itu makan atau menjamah hidangan daripada daging korban tersebut.

Sebaliknya kata beliau, Islam sendiri mengajar umatnya supaya mempunyai sifat rahmah dan ihsan terhadap haiwan.

“Bahkan Rasulullah SAW me­negaskan sesungguhnya Allah SWT mewajibkan sifat ihsan dalam setiap perkara (Riwayat Muslim).

“Perasaan simpati terhadap haiwan bukanlah sesuatu yang dilarang, bahkan ia menunjukkan wujudnya sifat belas ihsan dalam diri seseorang.

“Apa yang dituntut oleh syarak ialah memastikan haiwan korban dilayan dengan baik dan tidak diseksa sebelum atau ketika penyembelihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persepsi orang ramai mengenai seseorang yang meluahkan rasa simpati terhadap haiwan korban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN