KUALA LANGAT – Cubaan berani dua pekerja ladang warga Indonesia menyeludup keluar syabu bernilai RM4.4 juta hanya kira-kira 100 meter dari Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Ladang Tumbuk Batalion 6 di sini, memakan diri apabila dicekup dalam serbuan kelmarin.
Kedua-dua suspek lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi ketika bersembunyi di kawasan pesisir pantai sambil menunggu bot untuk pulang ke Indonesia secara haram.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pemeriksaan menemukan dua buah beg mengandungi syabu seberat 88.98 kilogram (kg) yang dipercayai cuba diseludup keluar menerusi laluan laut.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek baharu berada di negara ini sejak dua bulan lalu dan bekerja sebagai pekerja ladang.
“Kita percaya mereka mahu menaiki bot sama yang digunakan PATI untuk pulang ke Indonesia.
“Mereka ditahan di kawasan semak berhampiran tepi jalan yang jaraknya hanya 100 meter dari Pos PGA Ladang Tumbuk,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek juga menggunakan taktik menyembunyikan dadah dalam bungkusan minuman segera tiga dalam satu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Tambah beliau, siasatan masih dijalankan sama ada dadah tersebut diperoleh dari negara ini atau hanya dijadikan transit sebelum diseludup ke Indonesia.
“Kita masih menyiasat tempoh penglibatan mereka dan peranan sebenar dalam sindiket ini.
“Kebiasaannya PATI perlu membayar sehingga RM2,500 kepada sindiket untuk pulang secara haram, namun sama ada mereka dibayar atau sebaliknya bagi membawa dadah ini masih dalam siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan sebagai alat komunikasi kegiatan penyeludupan tersebut.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Hakemal memaklumkan seramai 611 individu berjaya ditangkap dengan pelbagai rampasan dianggarkan RM254 juta menerusi 179 serbuan dilakukan antara 1 Januari hingga hari ini. – KOSMO! ONLINE














