PELUMBA muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan memulakan langkah pertama di pentas Eropah dengan cukup bergaya apabila menamatkan perlumbaan pembukaan Moto4 European Cup 2026 di Litar Barcelona-Catalunya di tempat keempat, kelmarin.
Keputusan itu sekali gus memberi bayangan awal bahawa pelumba berusia 14 tahun tersebut mampu menjadi pencabar dalam saingan musim ini meskipun berdepan kelompok pelumba muda Eropah yang lebih berpengalaman.
Mewakili pasukan SIC-GRYD Racing, Qabil memperagakan aksi matang apabila tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan corak perlumbaan serta karakter jentera di pentas baharu itu.
Bermula di petak kelapan, Qabil melakukan permulaan agresif sebelum berjaya memintas beberapa pelumba untuk berada dalam kelompok hadapan seawal pusingan pertama.
Dalam perlumbaan 13 pusingan itu, pelumba kelahiran Terengganu itu beberapa kali bertukar posisi dalam kelompok lima terbaik sebelum berjaya memberi tentangan di kedudukan podium di pertengahan perlumbaan.
Bagaimanapun, Qabil terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat selepas dipisahkan hanya 0.192 saat di belakang pemenang, Alvaro Lucas dari Sepanyol.

Alvaro muncul juara dengan catatan masa keseluruhan 24 minit 19.948 saat, manakala Edoardo Savino dari Itali di tempat kedua dan Lorenzo Pritelli turut dari Itali melengkapkan kedudukan podium.
“Saya bermula dari petak kelapan dan berjaya naik ke kedudukan keempat. Permulaan itu memang sangat memuaskan kerana saya cuba memintas seramai mungkin pelumba di hadapan,” kata Qabil yang kini mengumpul 13 mata kejuaraan hasil penamat keempat itu.
Menurutnya, dia berdepan sedikit masalah keyakinan terhadap tayar hadapan, namun tetap berusaha mengekalkan rentak selain mengakui gaya tunggangan pelumba Eropah jauh lebih agresif berbanding saingan ESBK yang pernah disertainya sebelum ini.
“Ini satu pengalaman baharu buat saya. Untuk pusingan di Portugal nanti, saya akan cuba menjadi lebih agresif demi memburu kedudukan podium. Dengan pasukan ini semuanya baik dan saya sangat gembira,” katanya.














