KUALA TERENGGANU – Dua jenazah mangsa tragedi pelantar Sepat selamat dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, sebentar tadi.
Jenazah pertama dituntut ialah Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, pada pukul 12.25 tengah hari untuk dibawa pulang ke Masjid Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), Kuantan, Pauang untuk dimandikan dan disolatkan sebekum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Setali.
Jenazah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, pula dituntut keluarganya pada pukul 1.40 tengah hari sebelum dibawa ke Masjid Cenderawasih, Kuantan untuk urusan pengebumian di tanah perkuburan berhampiran.
Sementara itu mayat mangsa ketiga, Ahmad Fiqri Zakaria, 38, masih dalam proses bedah siasat dan dijangka selesai lewat petang ini.
Mangsa dijangka dibawa pulang ke Melaka untuk disolatkan di Masjid Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, pihak polis membantu mengiringi kenderaan membawa jenazah sehingga ke susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu bagi melancarkan urusan perjalanan keluarga mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam, kesemua mangsa yang berada di dalam bot penyelamat terjunam dari ketinggian 20 meter dari Platform Sepat setelah tali atau cangkuk yang mengikat bot tersebut dipercayai tercabut secara tiba-tiba. – KOSMO! ONLINE














