KUALA TERENGGANU – Seorang wanita yang sarat hamil ditimpa ujian besar apabila suaminya disahkan maut dalam kemalangan yang turut meragut dua lagi nyawa di perairan Terengganu dekat sini hari ini.
Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, yang mengandung tujuh bulan berkata, hatinya luluh apabila dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa suaminya, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, pada pukul 4 petang tadi.
“Wakil syarikat cuma beritahu suami terlibat dalam kemalangan, namun saya mendapat tahu dia sudah ‘tiada’ setelah menghubungi rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini malam ini.
Wanita itu berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah suaminya menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 7 pagi tadi.
Dia yang menetap di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang berkata, suaminya memaklumkan dia tidak sabar untuk pulang ke rumah pada 1 Jun ini untuk bertemu dengannya.
“Dia (arwah suami) selalu beritahu dia mahu kumpul cuti untuk menemani saya sepanjang berpantang selepas melahirkan anak nanti,” katanya.
Muhammad Faezuan Hakim merupakan antara tiga pekerja pelantar minyak yang maut, manakala seorang lagi cedera setelah bot yang mereka naiki dalam latihan pemindahan kecemasan terbabit dalam kemalangan di perairan Terengganu hari ini. – KOSMO! ONLINE














