fbpx
Pasangan suami isteri maut setelah terlibat dengan sebuah kereta yang memasuki laluan mereka di Teluk Medan pada petang hari ini.

‘Ibu nak makan strawberi, daging dendeng tapi…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN SERAI – Hati seorang anak luluh apabila hasratnya mahu membawa ibu berjalan-jalan pada petang ini berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua ibu bapanya maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth dekat Teluk Medan di sini petang tadi.

Lebih menyayat hati, impian ibunya untuk menikmati daging dendeng serta buah strawberi yang dipesan kepada anak keduanya juga tidak kesampaian selepas pasangan itu terkorban dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan kira-kira pukul 4.42 petang.

Dalam kejadian itu, Sahbuddin Bakar, 65, dan isterinya, Noraziyah Jahari, 51, maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah Toyota Innova yang memasuki laluan bertentangan.

Anak sulung pasangan berkenaan, Muhammad Zikri Shahbuddin, 32, berkata, dia baru pulang dari kerja pada tengah hari sebelum sempat bertemu ibunya yang ketika itu sedang memasak di dapur rumah mereka.

Menurutnya, dia ada memberitahu ibunya bahawa dia bercadang membawa wanita itu keluar berjalan-jalan pada petang berkenaan sebelum masuk tidur kerana terlalu penat selepas bekerja.

“Mak kemudian kejut saya dan beritahu dia mahu keluar berjalan dengan ayah, tetapi tidak memaklumkan hendak pergi ke mana.

“Tidak lama selepas itu, adik bongsu datang memberitahu mak dan ayah sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Masa itu saya benar-benar tergamam dan tidak tahu hendak cakap apa,” katanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar malam ini.

Muhammad Zikri berkata, dia amat terkilan kerana beberapa hasrat ibunya tidak sempat ditunaikan, termasuk menikmati daging dendeng yang dibelinya sebelum kejadian.

Katanya, arwah ibunya juga sempat berpesan kepada anak keduanya yang pergi ke Cameron Highlands supaya membelikan buah strawberi untuk dibawa pulang.

“Mak memang teringin makan dendeng dan saya sudah belikan, tetapi dia tidak sempat menjamahnya.

“Selain itu, dia juga pesan dekat adik supaya beli strawberi. Namun semuanya tidak sempat,” katanya dalam nada sebak.

Tambahnya, adik keduanya yang berada di Cameron Highlands atas urusan tertentu terus bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai tragedi itu, namun kenderaan dinaikinya mengalami kerosakan di kawasan Sungkai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Jafri Md. Zin mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, setakat ini tiada tangkapan dibuat berikutan pemandu Toyota Innova terbabit sedang menerima rawatan di hospital selepas mengadu sakit dada akibat kemalangan itu.

Jenazah Sahbuddin dan Noraziyah dijangka disolatkan di Masjid Titi Serong, Parit Buntar kira-kira pukul 10 pagi esok sebelum dikebumikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN