MELAKA – Sepasang warga emas berusia dalam lingkungan 60-an dicekup pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki bersekedudukan di sebuah rumah di Klebang, di sini, tengah malam tadi.
Serbuan pada pukul 12 tengah malam itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa agama JAIM selepas menerima maklumat dan aduan daripada orang awam.
Menurut sumber, ketika pemeriksaan, lelaki berusia 68 tahun dan pasangannya 66 tahun itu memberi alasan mereka sedang dalam proses permohonan untuk bernikah.
“Lelaki itu mendakwa dia bekerja sendiri, manakala pasangannya tidak bekerja. Pasangan tersebut juga memaklumkan mereka merupakan bapa dan ibu tunggal.
“Pegawai penguat kuasa membawa pasangan warga emas itu ke pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat atau bersekedudukan sehingga menimbulkan syak.
Pihak JAIM menegaskan, tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan untuk membuka aib mana-mana pihak, sebaliknya bagi memberi pendidikan serta kesedaran kepada masyarakat mengenai batas pergaulan dan kepatuhan terhadap hukum syarak. – KOSMO! ONLINE














