KOTA BHARU – Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menendang perut dan menampar muka anak lelakinya yang berusia 10 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, Zainudin Zainal Abidin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Zaimudin didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sebulan dengan cara menendang perut dan menampar muka yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal serta gangguan emosi terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kijang di sini kira-kira pukul 7.30 malam, 11 Mei 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Samsul Bahrin.
Terdahulu, Nur Kamilah tidak mencadangkan jaminan, bagaimanapun Samsul memohon jumlah ikat jamin yang rendah diberikan kepada anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














