IPOH – Tindakan berani seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bertemu buat kali pertama dengan kenalan lelaki yang baru dikenalinya menerusi WhatsApp berakhir tragedi apabila dia dirogol individu terbabit.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku selepas mangsa diambil suspek berusia 20 tahun itu dari rumah keluarganya di Lenggong kira-kira pukul 10 malam, semalam untuk keluar makan dan kemudian membawa remaja itu singgah di sebuah rumah dekat Padang Rengas ketika dalam perjalanan pulang.
“Sebaik sahaja sampai rumah tersebut, mangsa telah diajak masuk ke dalam rumah sebelum diperkosa oleh suspek. Kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang dihantar pulang oleh lelaki terbabit, disoal oleh abangnya yang membawa kepada pengakuan remaja itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan polis telah dibuat oleh mangsa pagi tadi dan dia dihantar ke unit obstetrik dan ginekologi (O&G) untuk pemeriksaan perubatan.
Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa baharu dua bulan berkenalan dengan lelaki itu menerusi rakannya dan sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Kita telah mengenal pasti lelaki itu dan usaha sedang dijalankan bagi mengesannya untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














