fbpx
Hakikatnya banyak dendangan lagu mampu mencapai jutaan tontonan dalam tempoh singkat. - GAMBAR JANAAN AI

Radio tak main lagu? Pengkarya jual di platform digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU mengenai lagu yang tidak diputarkan di stesen radio masih menjadi polemik hingga ke hari ini terutama dalam kalangan pengkarya dan penyanyi.

Selepas merealisasikan karya yang diyakini mampu memenuhi selera para pendengar, perasaan terkilan pasti menjentik hati sekiranya lagu tersebut tidak diterima pihak stesen radio.

Apatah lagi bukan sedikit masa yang diluangkan dalam mencanai ilham selain wang yang dilaburkan demi menghasilkan sebuah mahakarya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Walaupun sesetengah seleksi lagu popular di platform digital seperti YouTube, kelebihan tersebut bukan jaminan ia mampu mendapat airplay (ke udara).

Namun, penyanyi usah bimbang sekiranya dendangan masing-masing tidak kedengaran di corong-corong radio kerana faktor tersebut bukanlah penentu kejayaan atau tidak sesebuah naskhah berkenaan.

Hakikatnya banyak sahaja dendangan lagu mampu mencapai jutaan tontonan dalam tempoh singkat biarpun tidak ke udara atau sesekali diputarkan.

Komposer, penerbit dan penyanyi, Adeep Nahar mengakui, radio tetap penting sebagai saluran konvensional bagi hebahan bahan, namun penstriman mampu ‘menjual’ lagu bagi mendapatkan capaian yang lebih meluas.

“Banyak faktor yang menyebabkan sesetengah lagu tidak dimainkan walau pasukan promosi sudah membawa karya tersebut ke stesen radio.

“Ia termasuklah polisi stesen yang mempunyai carta lagu sendiri selain had putaran harian berdasarkan para pendengar.

“Jangan cepat berputus asa, kita fokus pula kepada platform digital memandangkan pendengar masa kini lebih cenderung mencari lagu baharu melalui penstriman muzik dan media sosial,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Adeep, pendekatan pemasaran alternatif kini menjadi strategi utama bagi memastikan karya-karya seni terus mendapat tempat di hati pemerhati muzik, sekali gus mampu menjaga pendapatan penyanyi dan juga pengkarya,” katanya.

Sebagai pengkarya, anggota trio vokal harmoni R&B 4Forty itu juga mengakui, dia tidak menyalahkan pengurusan saluran radio, sebaliknya memahami aliran permintaan semasa.

“Cita rasa pendengar muzik zaman sekarang adalah berbeza, tidak sama seperti era dahulu.

“Kami pun sudah berusia lebih 35 tahun, jadi lagu-lagu kami memang santai.

“Bagi 4Forty yang sudah punya tiga single termasuk yang terbaharu bersama penyanyi Indonesia, Bona Pascal berjudul Kau Yang Ku Tunggu. Selain penstriman, kita turut melakukan promosikan di negara seberang.

“Kami pun tidak mahu memfokuskan sepenuhnya kepada radio, kami turut memberikan fokus kepada platform digital.

“Kalau sesiapa yang sudi mendengar, bolehlah mendengar,” katanya.

Adeep yang juga bekas anggota Fabulous Cat itu memberitahu, kesukaran untuk menembusi stesen-stesen radio tempatan juga tidak mematahkan semangat kumpulan tersebut untuk terus berkarya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN