APABILA Puan Sri Tiara Jacquelina, wanita yang cukup kuat aura Puteri Gunung Ledang menerusi Enfiniti Vision Media mengumumkan pementasan semula dan barisan pelakon muzikal ikonik, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM), khalayak yang selama ini berasakan industri teater di Malaysia sedang tidur (mungkin) seolah-olah terjaga dari lena yang panjang.
Paluan gong PGTLM kedengaran begitu kuat tidak hanya disebabkan nostalgia kepada penonton yang pernah menyaksikan kegemilangannya suatu ketika dahulu, tetapi turut membawa simbolik jauh lebih besar terhadap landskap seni persembahan tempatan.
Secara tidak langsung produksi itu menjadi petanda bahawa teater berskala besar masih ada tempat dalam industri hiburan Malaysia, malah berupaya membangkitkan keterujaan masyarakat dalam era yang kini dikuasai kandungan digital dan hiburan segera.
Dalam banyak keadaan, masyarakat sering menilai ‘hidup’ atau ‘matinya’ industri teater berdasarkan kewujudan produksi besar yang mendapat liputan meluas. Apabila pentas besar lama tidak beroperasi atau tiada muzikal mega dipersembahkan, timbul persepsi bahawa dunia teater sedang tenat. Sedangkan realitinya, di ruang-ruang alternatif, studio kecil, universiti dan kelompok seni bebas, aktiviti teater tetap berjalan seperti biasa.
Bezanya, produksi kecil jarang mendapat perhatian arus perdana kerana tidak mempunyai kekuatan promosi, penajaan besar atau nama komersial yang mampu mencetuskan fenomena nasional.
Berbeza dengan PGLTM, lihatlah juga betapa terujanya khalayak Masing-masing bukan sahaja meletakkan ekspektasi tinggi terhadap nama-nama pelakon yang dirasakan siapa paling layak membawa watak Gusti Puteri, Sultan Melaka atau Hang Tuah.
Saat loceng pengumuman bergemerincing, masing-masing meniru pula poster watak. Tidak cukup dengan watak utama, peminat dan kalangan artis secara kreatif ‘berjemaah’ mencipta watak-watak ‘assemble’ berdasarkan ‘kelayakan’ masing-masing.
Ada yang cukup bangga sekadar menjadi Gunung Ledang atau dulang-dulang hati nyamuk dan kuman, asalkan dapat menyertai trend viral dalam media sosial. Lucu!
Tiket belum dibuka untuk jualan, namun senjata promosi sudah bertaburan. Keterujaan itu positif, namun ketika meraikan kepulangan PGLTM, sebenar penting untuk kita tidak menafikan kewujudan kelompok teater kecil yang selama ini terus bertahan dalam diam. Jangan sampai sebuah produksi mega sahaja dijadikan ukuran bahawa industri kembali ‘hidup’, sedangkan ramai penggiat lain tidak pernah berhenti bernafas untuk seni.
PGLTM mungkin menjadi simbol kebangkitan, tetapi nadi sebenar teater Malaysia sudah lama wujud cuma gema paluannya selalu kurang kedengaran.
Seperkara lagi, PGLTM juga bukan wakil industri atau pemuas selera buat para pemburu teater yang sebenar-benarnya. Realitinya, PGLTM sekadar sebuah produk bisnes atas nama seni yang untung ruginya harus dikonsultasi secara genius sesuai zaman yang sudah berevolusi, setidak-tidaknya demi meneruskan legasi mahupun tradisi. -KOSMO! ONLINE














