fbpx
Tangkap layar kejadian bakar suar di Bukit Bintang pada 18 Mei lalu.

Tujuh lelaki bakar suar, buat kecoh di Bukit Bintang didenda RM50 hingga RM4,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tujuh lelaki masing-masing didenda RM50 hingga RM4,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana membakar suar dan melakukan kekacauan di Bukit Bintang sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini.

Majistret Tg. Shazwany Yasmyn Tuan Roslan, Aina Azahra Arifin dan Farah Nabihah Muhammad Dan menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Di hadapan Majistret Tg. Shazwany Yasmyn, tertuduh, Mohamad Azhar Mohamed Idris, 31, didenda RM4,500, manakala di hadapan Majistret Farah Nabihah, Muhammad Haziq Akmal Mohd. Yazid, 24, didenda RM50.

Sementara itu, Majistret Aina Azahra pula menjatuhkan hukuman RM400 ke atas lima tertuduh iaitu Amir Adzim Shahrul Nizam, 25, Khairul Hamizan Zainudin, 28, Muhammad Izz Mifzal Mirza Mohd. Noordzalie, 22, Muhammad Ariff Aiman Mohamed Nasir, 23 dan Muhammad Ikhwan Daniel Azman, 25.

Mohamad Azhar yang memandu kenderaan pacuan empat roda didakwa berhenti dengan sengaja di lampu isyarat yang mungkin menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang pada pukul 2.07 pagi, 18 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Muhammad Haziq Akmal pula didakwa membakar suar atau flare yang membahayakan keselamatan awam di persimpangan jalan Bukit Bintang (Jalan Sultan Ismail persimpangan Syibuya) pada masa dan tarikh sama.

Lima lagi lelaki pula didakwa melakukan mudarat awam dengan membuat gangguan dan kekacauan di tempat awam, di lokasi pada masa dan tarikh sama. Mereka didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Go, Iman Nurhidayah Ezam dan Nurbatrisyia Mohd. Razib, manakala peguam Khairul Muktar Mkhddan Simret Singh mewakili kesemua tertuduh.

Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan cubaan mempromosikan jualan pakaian menerusi aksi ‘konvoi liar’ dan pembakaran suar di tengah Jalan Sultan Ismail berhampiran Bukit Bintang membawa padah apabila seramai 15 individu ditahan pihak polis.

Mereka terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita berusia 17 hingga 30 tahun.

Tangkapan itu dibuat susulan video tular memaparkan sekumpulan individu menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motosikal scrambler elektrik melakukan aksi yang boleh mengganggu ketenteraman awam di kawasan tumpuan.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi sebelum video tersebut tular di aplikasi Threads. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN