fbpx
Jamal Yunos dan Khairy ketika membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Saman fitnah KJ – Jamal Yunos selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berhubung isu pengundi hantu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berjaya diselesaikan secara baik di sini hari ini.

Hakim Datuk Anand Ponnudurai merekodkan penghakiman persetujuan selepas Jamal membacakan permohonan maafnya secara terbuka di mahkamah. Khairy turut hadir pada prosiding hari ini.

Menurut permohonan maaf yang dibacakan, jamal antara lain menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat pada sidang media pada PAU 2022 itu adalah tidak benar, tidak berasas dan tidak dosokong oleh sebarang bukti.

“Saya juga mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut yang dibuat oleh saya di dalam Sidang Media tersebut dan Penerbitan tersebut terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah membawa maksud atau implikasi bahawa Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah seorang yang tidak berintegriti, tidak berwibawa sebagai pemimpin dan terlibat dengan amalan rasuah, yang mana adalah tidak benar sama sekali.

“Saya sesungguhnya kesal atas penerbitan dan penyebaran kenyataan-kenyataan tersebut yang telah menyebabkan gangguan, penghinaan awam dan kerosakan kepada reputasi, nama baik serta kredibiliti Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Oleh itu, saya menarik balik sepenuhnya segala kenyataan fitnah yang telah saya keluarkan terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar di dalam sidang media tersebut dan penerbitan tersebut,” katanya.

Tambahnya, beliau bersetuju untuk memadamkan serta-merta dan selama-lamanya rakaman video sidang media tersebut dan apa-apa bentuk penerbitan tersebut daripada akaun Facebook “DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)” dan akaun TikTok “jamal_yunos” serta memastikan bahawa penerbitan tersebut tidak lagi boleh diakses oleh orang awam.

Terdahulu, peguam Shakeel Mohd Saifuzzaman yang mewakili bekas Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan kes itu dan kos yang tidak didedahkan jumlahnya juga telah dilunaskan oleh Jamal.

Selain Shakeel, turut mewakili Khairy Jamaluddin ialah peguam-peguam, Harshaan Muhammad Zamani, Muhamad Nur Aizat Noor Azam dan Sheetal Kaur Arwinder Singh manakala peguam-peguam, Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi Abdul Samad mewakili Jamal sebagai defendan.

Pada 24 Mei 2023, Khairy Jamaluddin memfailkan saman menuntut ganti rugi melebihi RM1 juta atas dakwaan Jamal telah memfitnahnya pada satu sidang media di PAU 2022 yang diadakan pada 14 Januari 2023.

Menurut penyataan tuntutannya, bekas Menteri Kesihatan itu mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan jahat terhadap UMNO berhubung isu pengundi hantu pada pengundian parti itu.

Jamal juga telah memuat naik rakaman sidang media itu di akaun Facebook `DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ dan TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos’ bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya”.

Khairy Jamaluddin selaku plaintif menyatakan, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu telah merujuk kepadanya dan turut menyebut namanya secara jelas.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lainnya menggambarkan bahawa plaintif adalah seorang pemimpin yang tiada integriti, tidak mempunyai kredibiliti, melakukan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi serta tidak setia pada parti dan pemimpin parti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN