SETIU – Hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh melihat anak bongsu yang sebelum ini cergas kini terlantar di atas katil akibat kecederaan kepala selepas terlibat dalam kemalangan empat tahun lalu.
Samsudin Sulaiman, 64, berkata, kehidupan anak lelakinya, Mohamad Fadil, 30, yang mesra dipanggil Ucu berubah 360 darjah selepas terlibat dalam nahas sewaktu keluar bekerja di Johor Bahru pada April 2022.
“Kemalangan itu menyebabkan kepalanya kini bergantung kepada tempurung tiruan yang dipasang menerusi beberapa pembedahan.
“Keadaannya bertambah memburuk apabila otak anak saya terkena jangkitan kuman tidak lama selepas itu menyebabkan fizikalnya lumpuh serta penglihatannya terjejas,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Seri Kenangan di sini semalam.
Samsudin berkata, keadaan Ucu kini amat menyedihkan memandangkan sebelum kemalangan tersebut, anaknya itu seorang yang ringan tulang dan gigih bekerja.
Katanya, selain bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Johor Bahru, anaknya sebelum ini turut melakukan pelbagai pekerjaan sampingan demi menambah pendapatan.
“Saya dan isteri, Rosnani Deraman (61 tahun) rindukan mendengar gelak tawa dan suara Ucu yang periang. Biarlah kami berkorban habiskan usia emas ini untuk menjaga dia selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Samsudin berkata, setiap kali perlu dibawa ke hospital untuk rawatan berkala, dia mengerah kudrat mengendong Ucu memasuki kereta.
Rosnani pula masih menaruh harapan Ucu yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik kembali sembuh seperti sedia kala suatu hari nanti.
“Jika tidak pun, biarlah sekurang-kuranya dapat dia (Ucu) berbicara semula. Buat masa ini, kami berkomunikasi menerusi kerdipan matanya,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Agrobank Samsudin di 2006363000048410 atau menghubunginya di talian 014-271 9166.














