PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Sabah, Sarawak termasuk Labuan hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Sarawak adalah Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Kapit (Kapit, Bukit Mabong dan Belaga) dan Bintulu.
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu).
Cuaca buruk itu turut dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














