MENYEBARKAN dakwah kerana Allah SWT merupakan satu amanah buat setiap Muslim dan ia bukan hanya tanggungjawab agamawan semata-mata.
Sebaliknya, setiap umat Islam bertanggungjawab untuk menyumbang dalam usaha menyebarkan dakwah dan itulah yang dilakukan oleh Siti Nabihah Zakaria yang menjadikan dakwah sebagai cara hidupnya.
Wanita berusia 32 tahun itu memilih cara santai untuk menyebarkan dakwah dengan berkongsi kisah-kisah sirah Rasulullah SAW dan para sahabat dengan pendekatan yang dekat di hati masyarakat.
Beliau menjadikan laman media sosial sebagai tempatnya untuk menyebarkan dakwah dengan menghasilkan kandungan berkaitan kisah sirah untuk dikongsi dengan masyarakat.
Perkongsiannya tentang kisah-kisah sirah berjaya menarik perhatian dan di laman sosial TikTok beliau mempunyai lebih 225,000 pengikut dan lebih 63,000 pengikut di Instagram.
Siti Nabihah berkata, kisah sirah sangat penting untuk dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam hari ini kerana di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran berkaitan iman, akhlak dan cara menghadapi cabaran kehidupan.
Menurutnya, tidak semua umat Islam benar-benar mengenali dan memahami sirah, sedangkan ia merupakan sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW yang perlu dihayati dan diamalkan.
“Kalau kita melihat kepada hadis Rasulullah SAW dan amanahnya yang terakhir, baginda berpesan bahawa umat Islam tidak akan tersesat selagi berpegang kepada al-Quran dan sunnah.
“Jadi, sirah ini juga sebahagian daripada sunnah kerana ia merangkumi perkataan, perbuatan serta perjalanan hidup Rasulullah SAW yang penuh dengan hikmah dan pengajaran,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Bioinformatik dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Pembangunan Lestari dari Universiti Sunway.
Setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW mempunyai sebab, pengajaran dan susunan cerita tersendiri yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Selain itu, kisah para sahabat juga sangat dekat dengan kehidupan manusia biasa kerana mereka belajar secara langsung tentang Islam, iman dan ketakwaan daripada Rasulullah SAW sendiri.
“Apabila kita bercakap tentang Rasulullah SAW, baginda adalah seorang nabi dan maksum, sukar untuk kita manusia biasa menyamakan diri kita dengan baginda.
“Tetapi apabila saya berkongsi kisah para sahabat, masyarakat lebih mudah untuk sesuaikan kerana para sahabat juga manusia biasa yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan seperti masalah keluarga, pasangan, anak-anak dan ujian hidup,” jelas Siti Nabihah.

Pendekatan itu menjadikan kisah sirah lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus memudahkan golongan muda menerima dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan harian.
Dalam masa yang sama, Siti Nabihah turut menekankan kepentingan mengolah kisah sirah dengan bahasa yang lebih santai, mudah difahami dan relevan dengan realiti semasa supaya mesej dakwah dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada generasi muda.
“Cabaran utama yang saya hadapi adalah bagaimana untuk meringkaskan bahan bacaan sirah yang sangat panjang menjadi video satu minit tanpa menghilangkan fakta penting kerana sirah adalah sesuatu memerlukan ketelitian untuk dikongsi.
“Untuk satu kisah sahaja, saya akan merujuk banyak sumber daripada buku-buku berkaitan sirah,” terangnya.
Menceritakan tentang bagaimana dirinya boleh meminati kisah sirah, Siti Nabihah berkata, pada usianya 16 tahun, beliau mendengar perkongsian sirah yang interaktif dan boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia yang disampaikan oleh seorang wanita yang bekerjaya sebagai jurutera.
Sejak itu, beliau mula suka dengan kisah sirah dan banyak membeli buku yang berkaitan.
Sebelum ini, Siti Nabihah sering berkongsi dan bercerita tentang kisah-kisah sirah dengan rakan-rakannya.
Namun, pada 2024 rakannya mencadang untuk beliau menghasilkan kandungan berkaitan kisah sirah dan dikongsi di media sosial.
“Setelah saya berkongsi kisah-kisah sirah ini maklum balas yang diterima sangat positif.
“Ramai ibu bapa memberitahu anak-anak mereka suka mendengar kisah sirah yang dikongsi,” terangnya.
Dalam pada itu, selain aktif dengan penyebaran dakwah, Siti Nabihah juga merupakan seorang aktivis kemanusiaan di bawah MyFundAction.
Merupakan antara yang terawal dan aktif terlibat, MyFundAction bermula hanya sebagai sebuah gerakan kecil mahasiswa. Organisasi itu didaftarkan secara rasmi pada tahun 2014 ketika dirinya bersama rakan-rakan lain masih berada di tahun kedua pengajian di UM.
“Sebelum MyFundAction didaftarkan, saya bersama beberapa rakan aktif menjalankan program motivasi di sekolah-sekolah sekitar tahun 2012 dan 2013.
“Sepanjang program berlangsung, kami mula menyedari ramai pelajar sebenarnya berdepan pelbagai cabaran kehidupan yang jauh lebih besar daripada masalah akademik semata-mata.
“Bila kami buat sesi perbincangan kecil bersama pelajar, mereka mula berkongsi masalah keluarga, kemiskinan dan sebab kenapa mereka sukar untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Di situlah lahirkan MyFundAction yang pada awalnya memfokuskan kepada pembangunan belia dan kebajikan masyarakat.
Selepas beberapa tahun berkembang, MyFundAction mula memperluas operasi bantuan kemanusiaan ke luar negara khususnya di kawasan konflik seperti Syria dan Palestin.
Pendekatan mereka itu tidak hanya tertumpu kepada bantuan harian semata-mata di sana.
Sebaliknya, mereka cuba membina sistem sokongan yang mampu memberi impak jangka panjang kepada komuniti setempat.
Di Syria misalnya, MyFundAction bukan sahaja mengagihkan roti kepada penduduk, malah membangunkan kilang roti sendiri bagi memastikan bekalan makanan dapat diteruskan secara berpanjangan.
“Kita tidak mahu hanya memberi roti setiap hari tetapi mengajar mereka bagaimana untuk terus hidup pada masa akan datang.
“Kilang roti yang dibangunkan ini bukan sahaja membantu menyediakan makanan, tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang terjejas akibat peperangan,” katanya.
Di Palestin pula, bantuan yang disalurkan melibatkan pelbagai aspek termasuk penyediaan makanan melalui central kitchen, pembinaan telaga air bersih serta bantuan pendidikan kepada anak-anak yatim di Gaza dan Tebing Barat.
Siti Nabihah berkata, penglibatannya dalam kerja-kerja kemanusiaan itu banyak diinspirasikan daripada hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling memberi manfaat kepada orang lain.
“Rasulullah SAW tidak mengatakan manusia terbaik itu yang paling banyak harta atau paling tinggi pangkat.
“Tetapi manusia yang memanfaatkan nikmat yang dimiliki untuk membantu orang lain dialah manusia terbaik,” jelasnya.
Dalam pada itu, di MyFundAction mereka turut menggabungkan penyelidikan dan teknologi untuk menghasilkan penyelesaian jangka panjang kepada masyarakat.
Mereka mempunyai sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sarjana dan PhD yang terlibat dalam kumpulan penyelidikan dan pembangunan.
Setiap kali pasukan sukarelawan turun ke lapangan dan mengenal pasti masalah masyarakat, isu tersebut akan dibawa kepada pasukan penyelidik untuk dicari penyelesaian yang lebih mampan.
Antara inovasi yang berjaya dibangunkan ialah teknologi makanan retort berasaskan daging korban yang mampu bertahan sehingga dua tahun.
Siti Nabihah menjelaskan, idea sejak 2016 itu tercetus selepas pasukan mereka melihat kesukaran masyarakat di kawasan pedalaman di Sabah dan kawasan konflik di Syria mendapatkan sumber protein seperti daging.
“Daging korban ini yang siap dimasak boleh bertahan sehingga dua tahun dan disalurkan ke Syria, Yemen, Palestin dan Jordan,” jelasnya.














