PETALING JAYA – 15 tahun usia perkahwinan, pelakon dan pempengaruh media sosial Norreen Iman akhirnya sah bercerai talak satu dengan suaminya, Mohd. Raizi Abdul Razak di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.
Tanpa sepatah kata kepada media, kedua-duanya dilihat tenang namun memilih untuk mengunci rapat kisah peribadi sebaik sahaja prosiding selesai.
Sebelum itu, Norreen, 32, sempat menitipkan luahan ringkas penuh makna dalam laman Threads miliknya seolah-olah memberi bayangan tentang keputusan besar tersebut.
“Bismillahirrahmanirrahim,” tulisnya ringkas.
Kehadiran pasangan itu ke mahkamah sebelum ini pada 29 April lalu sudah mula mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat, apatah lagi apabila mereka dilihat hadir bagi tujuan pengesahan lafaz cerai.
Namun, kedua-duanya terus berdiam diri tanpa memberikan sebarang kenyataan lanjut, seakan-akan memilih jalan sunyi untuk menutup episod rumah tangga mereka.
Dalam diam, keretakan rumah tangga pasangan tersebut sebenarnya sudah lama dihidu apabila mereka tidak lagi berkongsi momen bersama dalam media sosial, sekali gus menguatkan spekulasi pergolakan yang berlaku.
Untuk rekod, Norreen dan Raizi mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.














