SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal yang maut tersepit dibawah jengkaut di Kilometer (km) 14.8 Lebuh Raya Persekutuan tengah malam tadi, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di TTDI Jaya, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah malam dengan mangsa merupakan lelaki berusia 20 tahun yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa telah merempuh jengkaut yang sedang menjalankan kerja pemasangan tiang lampu di kiri jalan.
“Semasa kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di TTDI Jaya dari Seksyen 7, di sini.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangi tersepit di bawah jengkaut berhampiran kilang gula di sini, tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE














