PETALING JAYA – Selepas heboh bunyi ketukan misteri di pintu rumah pada awak pagi, terbaharu penduduk Puncak Alam mendakwa mereka terhidu pula bau busuk misteri pada malam hari.
Seorang pengguna Thread Geyy.buu turut berkongsi pengalamannya terhidu bau busuk misteri sewaktu sedang memandu kereta pulang ke rumahnya dari Puncak Alam ke Setia Alam.
“Musim orang cuba ilmu, jangan keluar malam ya. Puncak Alam dah kena, jangan masuk kawasan Meru dan Klang sudah lah. Patut tadi aku bawa kereta nak balik dari Eco Ardence dalam pukul 11.54 malam macam tu ada bau bangkai dalam kereta. Tengok kaki tak ada pula pijak najis, tapi bau bangkai tu kuat sangat. Tak berani aku nak tengok belakang. Seram ahh,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Thread lain termasuk penduduk Puncak Alam berhubung pengalaman seram dialami mereka.
“Saya kena dalam rumah bau bangkai satu malam, esoknya hilang. Seramnya,” komen @Thekotakmancislife.
“Semalam balik dari kawasan Puncak Alam ke Setia Alam sampai rumah bau busuk pelik. Periksa sampah tak ada pula, tiba-tiba pagi ni keluar rumah ada Hilux forensik,” dakwa @Farahramli.
“Tadi suami saya baru cerita, dia kata malam tadi tengah main game (permainan), tiba-tiba dengar bunyi anjing menyalak sayup-sayup je. Suami tengok jam pukul 2.40 pagi. Sebelah rumah memang kosong, cuma tengah ubah suai,” komen @Min Anuar.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan, penduduk Puncak Alam mendakwa mereka terdengar bunyi ketukan misteri di pintu rumah antara pukul 2 hingga 3 pagi.
Menerusi komen-komen dikongsikan penduduk Puncak Alam, ada yang mendakwa terdengar bunyi ketukan misteri itu, namun mereka tidak berani membuka pintu untuk melihatnya. – KOSMO! ONLINE














