fbpx
Shazeli ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

ASP maut jatuh bangunan disifatkan kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kematian seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Vista Alam, Seksyen 14 di sini semalam disifatkan sebagai kemalangan dan tidak mempunyai unsur jenayah.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 3.07 pagi itu melibatkan pegawai berusia 42 tahun dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati mangsa yang mempunyai dua orang anak masih kecil itu terjatuh dari tingkat lapan bangunan tersebut.

Katanya, pihaknya percaya kejadian tersebut adalah bersifat kemalangan dan siasatan masih dijalankan di bawah laporan mati mengejut.

“Berkaitan dengan insiden semalam, setakat ini kita mempercayai ia bersifat kemalangan dan tiada unsur-unsur jenayah. Itu sahaja ulasan saya berkaitan insiden tersebut.

“Proses bedah siasat telah selesai semalam sebelum jenazah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kuantan, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku serbuan sebelum kejadian, Shazeli menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara itu.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan begitu, jadi saya tak boleh komen. Mungkin tuan (pemberita) kena tanya pada sumber tuan kembali,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran spekulasi tidak tepat di media sosial yang boleh mengaibkan keluarga arwah.

“Sekiranya spekulasi itu tidak benar, dan ada berbau fitnah, insya-Allah report boleh dibuat dan tindakan siasatan akan dijalankan,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pegawai kanan dari JSJ IPK Selangor maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di Vsita Alam, Seksyen 14 di sini.

Kejadian dilaporkan kira-kira pukul 3.07 pagi selepas Pusat Kawalan IPD Shah Alam menerima maklumat berhubung insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN