JERANTUT – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah memulakan kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik bagi sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut yang tular hidup hampir 13 tahun tanpa elektrik.
Menurut kenyataan TNB, pihaknya mengambil maklum berhubung isu tular berkaitan permintaan penyambungan elektrik melibatkan keluarga tersebut dan memahami keperluan bekalan elektrik sebagai kemudahan asas penting dalam kehidupan harian.
“Untuk makluman permohonan berkaitan telah diterima melalui kontraktor pada hujung Disember 2025. TNB telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan pada Januari 2026 bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.
“Ingin dimaklumkan bahawa pelaksanaan kerja di lokasi adalah juga tertakluk kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan, termasuk dari aspek keselamatan, teknikal, serta pematuhan status tanah dan izin lalu,” katanya.
Terdahulu, kisah tiga beranak itu mendapat perhatian ramai selepas video mereka menahan konvoi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sambil memegang sepanduk bertulis ‘Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap’, tular di media sosial.
Video yang mencapai 1.6 juta tontonan di Tiktok itu mengundang perhatian dan menyentuh hati rakyat apabila keberanian mereka merayu secara terus kepada Al Sultan Abdullah akhirnya membuka jalan kepada penyelesaian isu yang membelenggu keluarga berkenaan sejak hampir 13 tahun lalu.
Menurut TNB, susulan perkembangan terkini, syarikat utiliti nasional itu telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang bermula 17 Mei lalu.
“Susulan perkembangan terkini, TNB telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei 2026. Kerja-kerja telah bermula 20 Mei 2026 dan sasaran memulakan tugas penyambungan bekalan pada 24 Mei 2026.
“TNB akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan serta meneliti perkara ini bagi memastikan kes seumpama ini dapat diuruskan dengan lebih teratur dan inklusif bersama pihak berwajib yang berkenaan pada masa hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














