JELI – Dua lelaki maut selepas tertimbus di dalam lubang yang digali ketika dipercayai sedang mendulang emas secara haram di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.20 malam.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan anak sungai itu mendapati dua mangsa tertimbus akibat runtuhan tebing tanah setinggi dua meter.
“Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa bermula pukul 9.20 malam, sebelum salah seorang lelaki dijumpai kira-kira lima minit kemudian.
“Mangsa kedua ditemukan kira-kira pukul 11.18 malam. Kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Adni memberitahu, seorang lagi rakan kepada kedua-dua mangsa terselamat daripada runtuhan itu dan mereka dipercayai melombong emas secara haram berikutan penemuan pam menyedut tanah di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE














