SHAH ALAM – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sejak keluar dari rumah datuknya di Pangsapuri PKNS, Seksyen 7 di sini, minggu lalu masih belum terjawab apabila mangsa gagal dikesan sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, laporan kehilangan remaja berbangsa India itu diterima daripada datuk mangsa pada 13 Mei lalu.
Menurut beliau, mangsa dikenali sebagai D. Heevashini dipercayai keluar rumah kira-kira pukul 11.27 pagi pada 12 Mei lalu ketika berada di kediaman datuknya.
“Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat sebagai orang hilang. Siasatan dijalankan dengan mengambil kira semua kenalan serta lokasi yang pernah dikunjungi mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan remaja terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450. – KOSMO! ONLINE














