IPOH – Seorang lelaki dan empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh adik lelakinya dalam kejadian di kawasan kuil dekat Tanjung Rambutan, minggu lalu.
Tertuduh, S. K. Siri Sakti Vell, 22, K. Thiruchelvan, 33, Shashipal Singh Manmuhan Singh, 36, N. Thaneshwaran, 24, dan P. Ukenthiran, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas membunuh S. K. Kerisnan, 18, di kawasan berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Jalan Perpaduan Southward, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi, pada 12 Mei 2026.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Julai depan sementara menunggu laporan perubatan dan bedah siasat.
Semalam, media melaporkan, perselisihan faham berkaitan kegiatan mencuri kabel dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord minggu lalu. – KOSMO! ONLINE














