ALOR GAJAH – Empat remaja termasuk seorang yang masih bersekolah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini hari ini, atas pertuduhan menjerut leher dan memukul seorang pemandu e-hailing wanita menggunakan batang besi, awal bulan ini.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee selepas pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 14 hingga 17 tahun.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 41 tahun menggunakan senjata atau benda berbahaya iaitu sebatang besi selain menjerut leher mangsa sehingga mendatangkan kecederaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 4 Mei lalu di kawasan berhampiran hutan Kuala Sungai Baru di sini.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang.
Terdahulu, Kosmo! pada 19 Mei lalu melaporkan seorang pemandu e-hailing wanita cedera selepas dijerut dan dipukul empat remaja termasuk dua remaja perempuan yang didakwa tidak mempunyai wang untuk membayar tambang dalam kejadian di Kuala Sungai Baru. – KOSMO! ONLINE














