KOTA BHARU – Hampir satu juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan berikutan cuti panjang sempena Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kenderaan perantau akan memasuki negeri ini bermula Jumaat ini.
Katanya, perantau yang pulang ke kampung perlu memastikan perjalanan lancar dengan mematuhi undang-undang jalan raya.
“Pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju, lampu isyarat, tidak memotong di garisan berkembar, tidak memandu di lorong kecemasan, memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Sehubungan itu, seramai 187 anggota penguat kuasa JPJ melibatkan 33 buah kenderaan dan 50 pasukan operasi yang terdiri daripada semua bahagian termasuk JPJ Cawangan dan Stesen Penguatkuasa terlibat dalam Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 bermula 24 hingga 31 Mei,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Kelantan di sini hari ni.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, peningkatan kenderaan itu berlaku kerana cuti musim perayaan bertindih dengan kepulangan perantau untuk melakukan ibadah korban bersama keluarga di kampung.
Katanya, JPJ turut bekerjasama dengan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres menerusi Ops HRAA.
“JPJ juga menjalankan rondaan di semua jalan persekutuan dan negeri dengan memberi tumpuan kepada 10 koridor utama trafik dan 38 kawasan blackspot kemalangan berdasarkan data daripada pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE














