PETALING JAYA – Tidak meletakkan sebarang ciri-ciri spesifik, penyanyi Aina Abdul bagaimanapun menolak untuk memiliki pasangan yang turut bekerja dalam industri seni.
Menurut Aina atau nama penuhnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 33, perkara tersebut disuarakan kerana enggan wujud persaingan dengan pasangan.
“Sejujurnya saya tiada ciri-ciri yang spesifik (bakal suami).
“Perkara penting yang saya paling tertarik adalah orang bukan kerja dalam industri seni.
“Sebab saya tak nak ada rasa bersaing itu, saya ada kawan-kawan yang mengalami masalah begitu,” katanya dalam temu bual bersama stesen radio Suria FM.
Tambah Aina, dia juga mengimpikan untuk berbual dengan pasangan mengenai isu lain setiap kali berada di rumah.
“Saya lebih rela kalau kahwin dengan seseorang yang ketika pulang ke rumah tidak lagi bercakap tentang industri. Cakap benda lain pula,” katanya lagi.
Sempat ditanya mengenai Jepun yang dipilih sebagai lokasi video muzik terbaharunya, berjudul Berjauh-an, dia mengakui negara tersebut pernah menjadi lokasi impian bersama bekas kekasih sebelum ini.
“Bukan, lokasi Jepun itu dipilih sebab dulu pernah bercita-cita nak pergi dengan orang tu pergi Jepun.
“Kasihan saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














