PETALING JAYA – Seorang pempengaruh dari China meluahkan rasa kagum dengan budaya masyarakat Malaysia yang disifatkannya terlalu sopan sehingga gemar mengucapkan perkataan ‘thank you’ dalam perbualan harian.
Menerusi hantaran di laman RedNote oleh pengguna @ZhiZhi, rakyat Malaysia dilihat sangat mudah mesra dan sentiasa mengucapkan terima kasih walaupun dalam situasi kecil.
Menurutnya, perkara yang paling mencuit hatinya apabila ucapan terima kasih sering dibalas semula dengan ucapan sama sehingga berlaku situasi berbalas-balas ucapan tersebut.
“Apa yang paling memeningkan saya ialah bila saya ucap ‘terima kasih’, mereka bukan sekadar membalasnya, tetapi mereka akan balas semula dengan ucapan ‘terima kasih’ kepada saya,” katanya.
Zhi Zhi turut berkongsi pengalaman lucu bersama jiran-jirannya di Malaysia yang sering berakhir dengan situasi saling berterima kasih beberapa kali.
“Contohnya apabila jiran beri sesuatu kepada saya, saya cepat-cepat ucap ‘terima kasih’. Lepas itu mereka pula balas ‘terima kasih’ kepada saya.
“Kami berdua akan saling berbalas ucapan itu beberapa kali,” ujarnya.
Tambahnya, pada awalnya dia berasa pelik dan tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi terhadap situasi tersebut, namun lama-kelamaan dia memahami bahawa ia lahir daripada rasa hormat dan penghargaan yang ikhlas.
Katanya, budaya masyarakat Malaysia yang santai, ramah dan tidak membezakan darjat membuatkan dia berasa selesa sepanjang berada di negara ini.
“Perkara ini sangat comel. Penduduk di sini sama ada Melayu, India mahupun Cina tempatan sangat sopan dan lemah lembut.
“Mereka juga tidak menggunakan status sebagai penduduk tempatan atau kekayaan untuk membezakan kelas sosial,” katanya.
Menurut Zhi Zhi, dia juga tidak pernah berdepan sebarang diskriminasi sepanjang tinggal di Malaysia dan menyifatkan budaya masyarakat negara ini sebagai penuh dengan kebaikan yang tulus serta membekas di hati pelancong dan pendatang asing. – KOSMO! ONLINE













