fbpx
Antara kes kemalangan di Kilometer 50.7 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada tahun lalu.

Tambah baik jalan ‘pencabut nyawa’ elak tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Laluan pencabut nyawa. Itu adalah gelaran diberikan penduduk setempat di Laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) selepas Terowong Genting Sempah menghala ke Kuantan.

Apa tidaknya laluan berbukit dan berselekoh berkenaan merekodkan kemalangan hampir setiap hari sekali gus menjadikan antara laluan berbahaya di negara ini.

Walaupun hanya berjarak 51 kilometer daripada kilometer 37 hingga ke Kilometer 88 merekodkan purata empat kemalangan sehari tahun lalu dengan 19 kes kemalangan maut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 1,364 kejadian kemalangan direkodkan pada 2024 dan meningkat kepada 1,408 kes tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik juga mendapati kejadian kemalangan maut turut meningkat iaitu daripada 19 kes pada 2024 kepada 26 kes pada 2025.

Tambahnya, setakat Februari tahun ini juga sebanyak 214 kes kemalangan direkodkan di laluan itu dengan lima kemalangan maut

Beliau memberitahu, polis sentiasa melakukan pemantauan dan mengenal pasti 12 kawasan hotspot kemalangan jalan raya sepanjang 51 kilometer kawasan itu.

Katanya, antara faktor utama yang dilihat menyebabkan punca kemalangan ialah keadaan cuaca hujan menyebabkan jalan basah, licin dan ada air bertakung di beberapa kawasan.

Selain itu katanya, keadaan jalan berselekoh, bercerun dan jalan tidak rata di beberapa kawasan turut menyumbang kepada kejadian kemalangan selain faktor pemandukan dan kurang pencahayaan.

Hakikatnya lebuh raya yang siap pada 1979 itu mempunyai laluan berbukit dan berselekoh berbahaya yang sepatutnya ditambah baik memandangkan ia menjadi laluan utama berjuta kenderaan.

Namun sehingga kini laluan berbahaya itu masih menjadi lubuk maut kepada pengguna jalan raya tidak kira sama ada mereka memandu dengan berhemah atau tidak.

Kesilapan orang lain boleh mengorbankan pemandu berhemah memandangkan risiko kemalangan di situ tinggi.

Dalam kejadian pada 30 September 2024, tiga maut gara-gara sebuah treler bermuatan cerucuk konkrit hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan lain.

Mangsa yang maut pemandu dan kelindan sebuah lori di laluan sama dan seorang anggota polis di laluan bersebelahan yang melanggar cerucuk konkrit yang terjatuh ke lorong bertentangan.

Kejadian kemalangan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kesakitan akibat kemalangan tetapi kesan berpanjangan kepada mangsa yang cedera parah dan kesan mental kepada keluarga termasuk anak-anak hilang ibu bapa akibat kejadian.

Persoalannya, sehingga kini telah berdekad lebuh raya berkenaan digunakan namun tiada usaha tuntas dilihat bagi menambah baik laluan berkenaan khususnya di kawasan berisiko kemalangan.

Mungkin ia memerlukan kos yang tinggi namun bila bercakap mengenai soal keselematan ia tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Sebagai kerajaan yang prihatin soal keselamatan perlu dititikberatkan dan usaha memastikan keselamatan orang ramai dilaluan ini perlu mendapat tindakan segera.

Jangan tunggu hingga ada kemalangan maut yang lebih besar baru hendak bersuara semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN