LONDON – Pengkritik bola sepak England, Rio Ferdinand mengakui masih terkejut dengan keputusan dilakukan oleh Xabi Alonso yang memilih untuk menyertai Chelsea selepas mengikat perjanjian empat tahun.
Ferdinand yang juga bekas tonggak Manchester United menyifatkan Alonso sepatutnya bersabar menanti peluang terbaik untuk kembali ‘ke rumahnya’ dengan menyertai Liverpool sekiranya The Reds membuat keputusan memecat Arne Slot.
“Saya tidak mengatakan ia adalah pilihan salah, namun sebenarnya terkejut beliau mengambil keputusan bersama Chelsea. Ini kerana saya fikir beliau mampu bersabar menunggu dan melihat kedudukan Arne Slot di Liverpool dalam tempoh beberapa minggu lagi.
“Dia adalah bekas pemain Liverpool, cukup sayangkan kelab dan sentiasa bercakap mengenai pasukan. Berdasarkan situasi semasa (di Liverpool), beliau pastinya sedang berada dalam senarai untuk diberikan jawatan pengurus.
“Namun, Chelsea lebih pantas, mereka mungkin menawarkan sesuatu yang lumayan kepadanya hingga mengubah keputusan Alonso. Atau pun, dia beranggapan tidak boleh sekadar menunggu sedangkan Chelsea juga adalah kelab besar,” katanya.
Alonso sebelum ini sering dikaitkan bakal kembali ke Merseyside di mana kariernya sebagai pemain cukup menyinar semasa mewakili Liverpool. – AGENSI














