KETUA pasukan Selangor FC, Faisal Halim percaya ketajaman rakan sepasukannya, Chigor Moraes yang bakal mengetuai jentera serangan berdepan Buriram pada aksi final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bakal menjadi sandaran penting.
Faisal mengkui sumbangan semua pemain turut menjadi elemen utama, namun Moraes dijangka menjadi watak penting untuk mencipta detik pemisah untuk memastikan Selangor mampu meraih kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan memburu kemenangan.
“Jurulatih (Kim Pan-gon) menekankan kepada pasukan supaya tidak berputus asa sepanjang tempoh 90 minit permainan, malah beliau juga menitikberatkan soal perpaduan dalam pasukan. Jika kami bekerja secara berpasukan, kami mampu mendapatkan keputusan baik.
“Chrigor adalah penyerang yang mempunyai kualiti luar biasa dan dia juga merupakan salah seorang pemain import terbaik yang pernah dimiliki Selangor. Dia muda, laju dan mempunyai kemampuan penyudah yang cukup baik.
“Dia mampu menjaringkan gol daripada mana-mana sudut. Setiap kali saya menghantar bola kepadanya, saya dapat merasakan peluang itu akan disudahkan dengan jaringan,” katanya.
Selain ditagih untuk menhadiahkan keputusan positif buat pasukan, Moraes yang sudah menghasilkan lima gol setakat ini berpeluang untuk muncul penjaring gol terbanyak kejohanan.
Harapan ini bukan sekadar omongan kosong memandangkan Moraes sedang berada pada prestasi terbaik termasuk menyumbangkan empat gol ketika menang 4-1 secara agregat ke atas Nam Dinh di separuh akhir.
Berdasarkan statistik terkini, Moraes hanya dipisahkan dua gol dengan pendahulu penjaring terbanyak iaitu Bergson Da Silva (JDT) dan Nguyen Xuan Son (Nam Dinh).
Manakala, bintang utama Buriram United, Guilherme Bissoli kini mengumpul enam gol namun kali ini tidak dapat bermain ekoran layangan kad merah pada separuh akhir kedua menentang JDT, 13 Mei lalu.














