FINAL Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bukan sekadar tertumpu perebutan kejuaraan antara dua kelab sebaliknya bakal menjadi pentas untuk mengukuhkan maruah negara, Malaysia dan Thailand.
Mengambil kira beberapa kejayaan Buriram United ke atas satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir ACC dan pertemuan di Liga Juara-Juara Elit (ACLE), kini peluang buat Selangor FC membuktikan kualiti sebenar kelab dari Malaysia.
Gergasi Merah memikul tanggungjawab besar dan diberikan harapan tinggi untuk memenangi ACC sekali gus menepis dakwaan pemilik Buriram United, Newin Chidchob yang mendakwa Liga Thailand lebih berkualiti, sengit dan kompetitif berbanding Liga Malaysia.
Mengulas aksi final pertama ACC menentang Buriram United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini, pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon akui pasukannya harus lebih bersedia untuk mendapatkan keputusan positif.
“Kami mahu mencabar untuk mendapatkan kejuaraan ini sekali gus membuktikan yang kami memiliki kekuatan. Sebagai wakil bola sepak Malaysia, kami mahu tunjukkan yang bola sepak Malaysia ada kekuatan.
“Kami akan berjuang untuk anda semua dan semua orang harus datang (ke stadium) untuk berikan sokongan kepada kami untuk kita berjuang bersama-sama,” katanya.
Di sebalik persembahan jentera serangan, Pan-gon juga harus memperkukuhkan benteng pertahanan memandangkan skuad The Thunder Castle terbukti tajam apabila meledak 18 gol dalam tujuh perlawanan ACC.
“Kamu tahu, jiwa saya, kata-kata saya adalah (untuk) Selangor. Kami perlu kembalikan sejarah untuk menjadi kelab terbaik. Jadi, ini adalah peluangnya untuk kami mengembalikan sejarah pasukan.
“Adalah penting untuk kami mencabar wakil Thailand, Buriram United. Sekali lagi saya katakan, kami akan berjuang untuk anda dan kami juga memerlukan sokongan,” katanya.














