PETALING JAYA – Lima rakyat Malaysia dilaporkan ditahan rejim Israel selepas dua bot misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dipintas di Laut Mediterranean, sebentar tadi.
Berdasarkan maklumat di Sumud Nusantara Tracker, bot dikenali sebagai Cactus dan Furleto dipercayai ditahan ketika dalam perjalanan menyertai misi bantuan ke Gaza.
Difahamkan, dua rakyat Malaysia berada di atas bot Cactus iaitu Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari.
Sementara itu, tiga lagi rakyat Malaysia yang menaiki bot Furleto dikenal pasti sebagai Patmanathan Sivasamy, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Syakirin Muhamed Senin.
Perkongsian tersebut turut memaparkan paparan sistem penjejakan kapal yang menunjukkan status kedua-dua bot berkenaan sebagai dipintas dan diserang.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak Sumud Nusantara Command Center (SNCC) berhubung nasib kesemua rakyat Malaysia terbabit.- KOSMO! ONLINE














