KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 8 Jun depan bagi tarikh baharu prosiding pengesahan lafaz taklik pasangan selebriti, Linda Hashim dan Beego.
Pada prosiding hari ini, Beego yang diwakili Peguam Syarie, Muhammad Akmal Amzan difahamkan tiba lewat disebabkan terikat dengan kes lain di mahkamah berbeza.
Bagaimanapun, Muhammad Akmal memberitahu proses perbicaraan hari ini berjalan lancar termasuk sesi bicara keterangan pihak Linda sekali plaintif.
Ujarnya, keterangan yang diberikan Linda adalah berkaitan tuntutan pengesahan lafaz taklik yang difailkan tahun lalu.
“Hari ini sudah selesai bicara keterangan bagi pihak Linda tetapi belum selesai lagi dan akan disoal siasat oleh pihak kami
“Dia sudah cerita semua untuk bahagiannya dan disebabkan itu, mahkamah menangguh prosiding seterusnya pada Jun depan,” katanya kepada Kosmo! Online.
“Keterangan Linda mengenai dakwaan menyatakan fasal taklik, pelanggaran dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Sementara, peguam Syarie, Nurul Fadzilah Kamaluddin yang mewakili Linda memberitahu, prosiding perbicaraan hari ini membabitkan anak guamnya memberi keterangan.
“Pada perbicaraan hari ini, Linda diperlukan memberi keterangan bagi pihaknya selaku plaintif.
“Bagaimanapun, sekiranya perbicaraan pada tarikh 18 Jun nanti masih lagi berpanjangan untuk pihak-pihak memberi keterangan, jadi Hakim Syarie memberikan tarikh baharu seterusnya pada 9 Julai pula.
“Apa yang pasti, dalam keterangan diberikan Linda pada hari ini nampaknya anak guam saya berpuas hati dan Hakim Syarie juga memberi maklum balas yang baik,” ujarnya.
Kemelut rumah tangga Linda atau nama sebenar Norhazlinda Hashim dan Beego menjadi perhatian ramai apabila aktres itu memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.
Terdahulu, Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, dan Linda sebelum ini pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 dan Linda juga membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak.
Linda bagaimanapun mendakwa dia dan Beego kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Beego dan Linda berkahwin pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan berusia antara 12, 11, dan tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE














